
Perayaan di Sabah....
Bulan Lima” merupakan “bulan cuti” dan “bulan keramaian” di Sabah. Sesungguhnya, banyak acara dianjurkan untuk orang ramai bergembira dan bersukaria pada bulan ini. Perayaan utama pada bulan Mei di Sabah ialah tidak lain dan tidak bukan Pesta Kaamatan. Pesta ini bermula pada setiap 1 Mei, di mana dilakukan pelancaran Pesta Kaamatan. Hari tersebut amat signifikan kerana ia merupakan hari cuti awam, sempena “Hari Buruh”.
Selepas sahaja dilancarkan maka bergemalah paluan gong di merata tempat di Sabah di mana siri perayaan Kaamatan di semua daerah, dan malah dihampir semua kampung, khusus di mana penduduk majoritinya ialah Kadazandusun.
Setiap Sabtu dan Ahad sudah habis diperuntukkan untuk sambutan perayaan tersebut. Sudah tentunya, acara kemuncak perayaan ini ialah pada 30 dan 31 Mei,yang dipanggil perayaan tadau kaamatan yang mana telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai cuti umum. Pada dua hari inilah sambutan-sambutan kecil di kampung-kampung dan sederhana di daerah-daerah digerakkan ke arah sambutan kemuncaknya di satu pusat tertentu. Di sinilah diadakan acara sukaneka, pameran, pertunjukan tarian, pertandingan “sugandai Kaamatan” dan paluan gong yang tidak terhingga meriahnya. Perayaan Tadau Kaamatan ini di sambut selama dua hari berturut- turut bagi melakukan upacara ‘magavau’ iaitu memuja semangat padi yang di ketuai oleh ‘bobolian’. Pada hari kedua pula diadakan pula upacara seperti ‘humabot’, ‘momolobok’ dan ‘moginakan’ sebagai tanda kesyukuran dan pemujaan suci. Selain itu tetamu turut di hiburkan dengan beberapa persembahan seperti ‘sumazau’, ‘magunatip’ sambil menikmati hidangan berasaskan beras hasil tani dan ternakan.
Acara kemuncaknya pula ialah Pertandingan Ratu Unduk Ngadau, di mana gadis-gadis ayu dan jelita Kadazandusun dari semua daerah diketengahkan untuk diadili dari segi keayuan,kesopanan, kecerdasan dan kesergahan pakaian tradisi yang dipakai.Ratu “Unduk Ngadau Kaamatan”, yang mendapat inspirasi dari legenda “Huminundun” (bermaksud “yang berkorban”) akan seterusnya menjadi satu “icon” kebanggaan Negeri Sabah secara keseluruhanya. Jika tradisi budaya Kadazandusun diteliti, gadis Kadazandusun yang bergelar “Unduk Ngadau” ini merupakan “kombura tolundu”, gadis yang “outstanding” di kalangan ribuan gadis atau wanita Kadazandusun. Sebenarnya “Unduk Ngadau”itu berasal dari perkataan “runduk tadau”, yang bermakna “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya matahari”. Ia menggambarkan ciri-ciri seorang gadis jati Kadazandusun yang terserlah kejelitaan, keayuan, kesopanan, kecerdasan, kemuliaan, kekudusannya yang dilihat sebagai “role model” (idola) dan sumber harapan kepada komuniti Kadazandusun secara keseluruhannya. Sesungguhnya, maksud tersirat di sebalik “Unduk Ngadau” itu adalah sama signifikannya dengan gelaran “Huguan Siou” kerana kedua-duanya dilihat sebagai “icon”, idola dan sumber kekuatan masyarakat kadazandusun.
