Tuesday 1 October 2013

Etnik-Etnik Di Sabah


Negeri Sabah mempunyai tidak kurang  dari tiga puluh etnik suku kaum . Sebuah  negeri yang kaya dengan tarian  kebudayaannya. Apabila tiba musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan juga perayaan Sabah Fest yang dirayakan pada Mei setiap tahun, orang ramai dapat menyaksikan pelbagai tarian kebudayaan yang dipersembahkan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan berkenaan.

Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum.  Etnik terbesar  di Sabah adalah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut.  Suku kaum yang lain ialah Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.

Perbezaan di antara berbagai-bagai suku kaum tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi bahasa, ugama, adat istiadat  dan pegangan hidup termasuklah pakaian tradisi mereka.

 Kadazan Dusun
Kaum Kadazan Dusun  merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah dan berasal daripada Indo-China. Kaum etnik ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam  tradisional. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan sebagainya.

Bajau

Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah, kaum Bajau merangkumi 15 peratus populasi penduduk negeri ini. Mereka asalnya adalah keturunan pelaut yang menyembah Omboh Dilaut (Tuhan Laut) dan sering dikenali sebagai gipsi laut. Ada yang telah meninggalkan kehidupan di laut dan menjadi peladang serta penternak. Mereka pula dikenali sebagai ‘Koboi Timur’ kerana kepakaran mereka menunggang kuda. Terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Bajau seperti Ilanun, Sulu dan sebagainya. Kebanyakan masyarakat Bajau  mendiami  kawasan Semporna dan Kota Belud.  Kaum lelaki dalam kalangan  masyarakat ini terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir.

Murut 
Kaum Murut merupakan etnik ketiga terbesar di Sabah, Murut merangkumi  tiga peratus populasi penduduk negeri ini. Secara tradisi, mereka menduduki kawasan  pedalaman di utara Borneo. Mereka juga adalah antara etnik Sabah terakhir untuk membuang amalan memburu kepala. Kini, mereka penanam padi huma dan ubi kayu, sambil memburu menggunakan sumpitan dan menangkap ikan. Kebanyakan kaum  pribumi di Sabah, pakaian tradisi mereka turut dihiasi dengan hasil seni manik yang menarik.  

Rungus
Rungus juga di kenali sebagai Dusun Laut atau Dayak Dusun. Suku kaum Momogun Rungus mendiami kawasan pesisir pantai barat Kudat, pantai timur Kudat, Teluk Marudu, Pitas hingga ke Beluran dan juga kepulauan sekitar  Kudat. 

Iranun atau Illanun ialah nama satu suku kaum yang dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah. Iranun bermaksud berkasih-kasihan. Ini bagi mewujudnya sistem hubungan sosial yang amat erat, yang terikat oleh tali persaudaraan yang amat intim, yang  berlandaskan sistem kerjasama dan gotong-royong.

Idaan 
Idaan adalah  etnik yang  menetap terutamanya di sekitar daerah Lahad Datu di persisiran timur Sabah.  Populasi semasa dianggarkan sekitar 6,000 ,  etnik ini memiliki hak esklusif bagi mengumpulkan sarang burung layang-layang di dalam gua batu kapur  di kawasan penempatan  mereka.  

Bisaya
Bisaya dikatakan di antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Kedatangan  Islam dalam  kaum Bisaya adalah melalui hubungan dagang dengan pedagang dari tanah Arab. Jika dilihat daripada segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan mereka sehari-harian.

Suluk
Sulu berasal daripada Kepulauan Sulu dan Borneo (Sabah) sejak zaman Kesultanan Sulu lagi. Kaum Suluk ini menggunakan bahasa Tausug sebagai bahasa pertuturan. Agama rasmi yang dianuti adalah agama Islam. Kaum Suluk ini juga mempunyai budayanya yang unik dan tersendiri. . Pusat petempatan bagi orang Suluk adalah terletak di daerah Kudat, Semporna, Sandakan, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Menggatal,T uaran dan Telipok

Tidung

Suku kaum Tidung adalah suku kaum rumpun Melayu yang banyak terdapat di bahagian tenggara Sabah iaitu sekitar daerah Tawau dan Sebatik. Antara suku kaum Melayu Tidung begitu dikenali di Tawau ialah Tidung Apas, Tidung Indrasabah, Tidung Membalua, Tidung Merotai dan Tidung Kalabakan. Terdapat juga ramai suku kaum Tidung di beberapa kawasan di Sandakan seperti di Beluran.


Masyarakat pelbagai etnik dan kebudayaan hidup dalam keadaan yang harmoni dan saling  bantu membantu antara satu sama lain adalah merupakan keunikan bagi negeri Sabah. Masyarakatnya hidup dalam  keadaan  kepelbagaian  budaya dan menarik perhatian ramai pelancong luar  ke negeri ini.

No comments:

Post a Comment