Tuesday, 1 October 2013

SEJARAH & ASAL USUL NAMA SABAH

Asal-usul nama ‘Sabah’ dipercayai berasal daripada sejenis tanaman iaitu pisang yang dikenali sebagai pisang saba iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil "SABBAH " atau "SAPPAH" oleh masyarakat Bajau yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang ini banyak ditanam di sepanjang pantai barat Sabah sebagai sumber makanan. 'Pisang saba' juga dikenali sebagai 'jaba' oleh masyarakat Bajau di negeri tersebut. Kini 'pisang saba' lebih dikenali sebagai pisang menurun.
Nama 'Sabah' pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh para pedagang yang mengembara di antara Kepulauan Borneo Utara hingga ke kepulauan Sulu di Selatan Filipina. Kesimpulannya nama 'Sabah' telah pun digunakan sejak sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara danBritish lagi. Dalam peta Portugis Melaka 1604, Kota Kinabalu disebut sebagai Api-Api.
Setelah negeri Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama 'Sabah' telah ditukar kepada 'Borneo Utara' secara rasmi pada tahun 1881. Walau bagaimanapun, nama 'Sabah' kembali digunakan pada tahun 1963 selepas negeri tersebut menyertai Malaysia.
Catatan puisi Jawa Nagarakertagama yang dikarang oleh Prapancha pada tahun 1365 menyebut Sabah sebagai 'Seludang'. Dalam catatan Marco Polo sewaktu beliau singgah di Borneo, Sabah ketika itu dikenali sebagai "BURNI" yang mungkin merujuk kepada Brunei.
Sebelum abad ke-16, Sabah tidak mempunyai pemerintahan beraja menyebabkan system pemerintahan di Sabah terbahagi kepada tiga iaitu sistem politik kesukuan, sistem politik kesultanan dan sistem politik ketua babas.
Pada waktu sebelum abad ke-6, kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah, Brunei dan Sarawak adalah berpusat pada kerajaan Brunei dan kerajaan Brunei juga merupakan pusat perdagangan dengan China. Wilayah ini sebaliknya dipengaruhi oleh dua kuasa besar pada waktu itu, iaituSrivijaya di Sumatra dan kemudian Majapahit di Jawa.
Bagaimanapun, pada awal abad ke-15, Empayar Melaka di bawah pemerintahan Parameswara telah menyebarkan pengaruhnya dan seterusnya mengambil alih perdagangan Brunei. Perubahan ini menyebabkan agamaIslam tersebar di wilayah Brunei oleh pedagangnya pada akhir abad ke-15. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 telah menyebabkan Sultan Brunei mengambil alih kepimpinan Islam dari Melaka. Semasa pemerintahan Sultan Bolkiah, kerajaan Brunei telah memperluaskan pengaruhnya ke utara sehingga ke Luzon dan Sulu serta di sebelah selatan dan barat Borneo. Kecuali dari Eropah, pendatang asing yang berurusan dengan Sabah (Borneo Utara) tidak meninggalkan sebarang rekod bertulis tentang kegiatan mereka di kawasan ini. Penduduk tempatan juga tidak memiliki sebarang rekod bertulis kecuali sejarah dan tradisi lisan mereka.
Pada 600 tahun masihi, orang-orang Cina telah datang untuk membuat perdagangan dan hubungan diplomatik dengan Borneo Utara. Rekod Sejarah Brunei (Brunei Annals) telah merakamkan tentang penempatan mereka di kawasan Kinabatangan. Bukti-bukti Arkeologi iaitu seramik yang ditemui di Borneo Utara menunjukkan bahawa orang-orang Cina ada menjalankan perdagangan secara bertukar barang, antara seramik orang-orang Cina dengan rempah ratus dari penduduk tempatan.

Tempat Menarik di Sabah


Sabah memiliki banyak tempat-tempat yang menarik
tidak kira di kawasan pendalaman,pantai dan kawasan bandar. Kawasan pelancongan ini terdiri daripada kawasan semula jadi seperti gunung ganang yang belum diterokai,kawasan perlindungan haiwan dan keindahan pulau di setiap kawasan.

GUNUNG KINABALU,RANAU



   


Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah, Malaysia merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan puncak tertinggi Pulau Borneo yang ketinggiannya mencecah 4,095 meter dari aras laut. Gunung Kinabalu mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung.
Gunung Kinabalu merupakan lambang kemegahan kepada setiap penduduk yang tinggal di Sabah. Sesetengah penduduk menganggap Gunung Kinabalu ini merupakan gunung yang dapat memberikan semangat juang dan satu padu rakyat Sabah. 
Gunung kinabalu memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Di antaranya ialah tempat di mana terletaknya bunga terbesar di dunia iaitu Bunga Rafflesia. Bunga ini menjadi tumpuan setiap pengunjung yang bertandang ke Gunung Kinabalu ini. Ini kerana keunikan bunga itu sendiri yang habitatnya hanya di Gunung Kinabalu malahan jenis-jenis bunga tersebut yang pelbagai dan menjadi kajian sesetengah pakar dari seluruh dunia. Gunung kinabalu jika dilihat dari jauh, kita hanya membayangkan perjalanan ke puncaknya yang hanya dihiasi oleh tumbuh-tumbuhan yang hidup menjalar di kawasan tersebut. Malangnya tanggapan itu silap sama sekali. 
Pelbagai kemudahan yang telah disediakan oleh pihak pengurusan Gunung Kinabalu itu sendiri untuk memudahkan pendaki-pendaki yang mengambil keputusan untuk menawan gunung tersebut. Pelbagai kemudahan seperti rumah rehat iaitu Menggilan Hostel yang akan menempatkan pendaki yang akan berhenti rehat. Selain itu persekitaran Gunung kinabalu juga boleh mencapai sehingga serendah 14 darjah selsius dan gunung Kinabalu itu sendiri boleh mencapai suhu 0 darjah selsius.

GUNUNG TRUSMADI,TAMBUNAN


Gunung Trusmadi yang terletak di Tambunan, Sabah merupakan gunung kedua tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu yang juga terletak di Sabah. Gunung Trusmadi mempunyai ketinggian setinggi 2,642 meter (8,669 kaki).
Gunung Trusmadi mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan, contohnya Nepenthes macrophylla.


KUNDASANG
Kundasang merupakan sebuah pekan kecil yang paling hampir dengan Gunung Kinabalu. Ia terletak hanya 6 km dari Taman Negara Kinabalu. Cuaca yang segar serta pemandangan yang indah menjadi alasan utama ramai pelancong datang berkunjung ke Kundasang.
Pertanian merupakan sumber pendapatan yang utama kepada penduduk di sini. Tidak hairanlah Kundasang merupakan pusat membeli belah sayur-sayuran yang sangat terkenal di daerah ini. Manakala pelancongan menjadi sumber pendapatan kedua terpenting bagi penduduk di Kundasang. 
Majoriti penduduk Kundasang adalah terdiri daripada suku kaum Dusun, Sungai, Bajau, Melayu, Cina, namun terdapat juga sebilangan daripada pendatang Indonesia yang terdiri daripada Bugis, Tator, Timor, Jawa, yang mana telah menjadi sebahagian kecil daripada penyumbang bagi mengerakkan ekonomi di sekitar Kundasang, terutamanya di dalam sektor pertanian. Walaupun hanya sebuah pekan kecil, Kundasang juga menyediakan kemudahan seperti hotel, motel, chalet dan home stay bagi member keselesaan kepada kepada pelancong.

  • KUNDASANG WAR MEMORIAL PARK

  • KUNDASANG FARM


KOLAM AIR PANAS,RANAU




Poring merupakan nama KadazanDusun untuk sejenis spesies pokok Buluh yang tumbuh di kawasan itu. Terletak kira-kira 40 km di timur laut pusat Taman Kinabalu, Poring terkenal kerana kolam air panas dan jambatan gantungnya yang unik.Kolam air panas Poring dikenali kerana air panasnya mengandungi galian sulfur yang boleh menyegarkan badan. 
Para pelancong juga berpeluang menikmati pemandangan yang indah apabila menyusuri jambatan gantung sepanjang 157.8 m dan setinggi 41 meter di atas pokok. Terdapat juga Taman Kupu-kupu dan Pusat Pemuliharaan Orkid di sini.


PUSAT PEMULIHARAAN ORANG UTAN SEPILOK,SANDAKAN



Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok terletak di Hutan Simpan Sepilok - Kabili, 24 km dari Sandakan, Sabah. Pusat ini dikhususkan untuk memelihara dan mengkaji spesies orang utan yang semakin pupus di dunia ini.

Pusat Pemuliharaan Orang Utan ini dibuka pada 1964 dan ditadbir oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah, di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia. Luas pusat ini termasuk hutan simpannya ialah 4294 hentar dan mula dibuka kepada kunjungan para pelancong pada 1964. 
Kini terdapat 300 ekor orang utan yang hidup secara semula jadi, diberi makan, diternak dan ditempatkan (dibuang) ke sini dari tempat-tempat lain. Menurut kajian Jabatan Hidupan Liar Sabah, terdapat 13,000 orang utan di seluruh negeri Sabah. Oleh itu, pemilihan Sepilok sebagai pusat pemuliharaan orang utan amat bertepatan sekali.


PULAU SIPADAN



Pulau Sipadan ialah sebuah pulau lautan berhampiran dengan Semporna, sebuah bandar di pantai timur Sabah, Malaysia. Pulau Sipadan merupakan satu-satunya pulau samudera di Malaysia daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari dasar laut. Pulau Sipadan terkenal sebagai satu pilihan tempat bagi aktiviti menyelam skuba (scuba diving) antara yang terbaik di dunia.
Alam bawah laut Sipadan menawarkan kepada para penyelam pemandangan yang penuh dengan kehidupan marin seperti Barracuda, penyu, ikan, dan sebagainya. Warna-warna yang banyak dan bertukar ganti, birai, celah, batu rungkupan, gua besar dan cerombong yang menegak di bawah air yang dibentuk oleh pelbagai karang menanti untuk disaksikan oleh para penyelam yang ingin menikmati tempat selam yang menyeronokkan di dunia. 




PULAU MABUL


Pulau Mabul terletak di pesisir pantai tenggara negeri Sabah, Malaysia. Pulau ini terkenal kerana dekat dengan pulau Sipadan.
Pulau ini kecil dan melengkung dan terdapat banyak batu karang pelbagai jenis. Batu karang menjadi tumpuan spesies ikan marin kerana banyaknya makanan plankton . Dasarnya tidak dalam, sesuai dengan kejadiannya sebagai pentas benua di Laut Sulawesi. Kedalaman sekitar 25 hingga 30 meter sesuai untuk aktiviti 'scuba diving'. Banyak sekali hidupan eksotik seperti sotong kurita, cephalopods, udang geragau, ketam, rumpai laut lain.




Adat Resam kaum Kadazandusun
Asal usul makanan
Lazimnya, menurut kepercayaan suku kaum Kadazandusun, padi berasal daripada isi manusia yang bernama Huminodun. Huminodun ialah seorang gadis jelita anak kepada Kinoingan. Kinoringan ialah nama Tuhan bagi nenek moyang suka kaum Kadazandusun.
Kinoringan telah mengorbankan anaknya Huminodun demi mengatasi masalah kebuluran di dunia. Menurut kepercayaan suku kaum ini, segala jenis bahan makanan yang utama berasal dari pelbagai bahagian badan Huminodun. Beras dari isinya yang putih melepak; darahnya yang merah telah bertukar menjadi lada; halia pula adalah jari jemari Huminodun; bawang 'tagaas' berasal dari rambut Huminodun; giginya bertukar menjadi jagung; kepalanya pula menjadi kelapa dan sebagainya.
Oleh itu demi menghormati dan mensyukuri pengorbanan Kinoringan dan Huminodun, nenek moyang suku kaum ini mengadakan upacara-upacara adat seperti Momohizan dan Humabot.
Upacara Momohizan
Upacara Momohizan ini diadakan pada bulan Ogos atau bulan September apabila padi selesai dituai. Upacara momohizan diadakan untuk memuja semangat padi dan memberi makan kepada penjaga semangat padi supaya membantu untuk menyuburkan padi dan melindungi padi dari sebarang penyakit atau bencana alam. Upacara momohizan biasanya berlangsung dirumah keluarga suku kaum Kadazandusun golongan berada. Sementara itu golongan yang kurang berada akan meminta untuk didoakan bersama ataupun dalam bahasa Kadazandusun 'mikiompit'.
Dua minggu sebelum upacara ini diadakan tuan rumah akan meminta para penduduk kampung untuk menolongnya menyediakan 'tapai' iaitu sejenis minuman keras tradisi Kadazandusun. Upacara Momohizan dimulakan pada sebelah malam iaitu setelah semua jemputan hadir. Beberapa orang Bobohizan (bomoh suku kaum Kadazandusun) yang berpakaian serba hitam akan berkumpul dan memulakan upacara ini dengan memanggil 'miontong pomumuon' (penjaga rumah/semangat padi) Apabila selesai membaca mantera pemanggilan dalam kata lain apabila semua miontong dan 'tasab' (malaikat padi) sudah dihimpunkan maka Bobohizan akan menaburkan serbuk ragi (manasad) di atas nasi yang telah dihidangkan di atas nyiru dan diletakkan di ruang tengah rumah.
Adalah dipercayai bahawa perbuatan manasad dilakukan bersama-sama dengan miontong. Setelah selesai manasad, nasi yang ditabur dengan ragi itu kemudian diisi ke dalam sukat (saging) dan diatas nasi itu diletakkan arang (popou), kemudian mulut sukat ini akan ditutup dengan daud simpur (daingin). Kemudian Bobohizan akan mengisi beras ke dalam nyiru yang berbentuk segitiga (hihibuh), ketua Bobohizan akan memungut sedikit beras dari nyiru dan meletakkannya ke atas gendang.
Sambil membaca mantera, Bobohizan akan mengetuk gendang dan kemudiannya memakan beras itu, tujuannya ialah untuk menjemput miontong sama-sama memakan beras tersebut. Selepas itu beberapa orang pelatih Bobohizan yang terdiri daripada sumandak (gadis-gadis sunti) akan berkumpul dan memukul gendang sambil menyanyi dan membaca mantera 'tumingak' dan diikuti dengan mantera 'sumava'. Seiringan dengan itu Bobohizan akan membungkus nasi dengan daun simpur. Nasi yang dibungkus ini kemudiannya dipungut sedikit-sedikit lalu diisi ke dalam tempayan kecil. Tempayan ini kemudiannya diletakkan di atas batang bambu yang tingginya kira-kira tiga kaki dan hujung bambu itu diletak untuk tempayan itu diletakkan. Batang bambu ini diikat pada tiang rumah dengan menggunakan tali kyang diperbuat daripada kelapa (hisad).
Setelah itu Bobohizan akan menjemput 'miontong' untuk minum tapai (moginum) bersama-sama. Setelah itu bobohizan akan bersedia untuk menjemput dewata dari kayangan untuk turut serta makan minum dan memohon kepada mereka untuk menjaga dan melindungi padi serta keluarga suku kaum Kadazandusun.
Pelatih Bobohizan akan membaca mentara'mingau' dan diikuti dengan mentera 'kumodong sakazan' ini ialah untuk memanggil semangat kenderaan yang menurut mereka berbentuk perahu dan akan belayar terapung-rapung di udara. Para Bobohizan akan menutup muka mereka dengan kain sambil membaca mantera 'modsuut/soikung' iaitu memanggil roh-roh kayangan. Para Bobohizan ini akan menentukan arah tujuan masing-masing, biasanya dua orang Bobohizan akan belayar ke kayangan (minsavat).
Acara 'modsuut' ini diiringi dengan paluan gong tanpa henti dan Bobohizan pula membaca mantera dan mengoncang-goncangkan alat bunyian mereka yang diperbuat serpihan-serpihan besi disangkutkan pada serpihan tulang rusuk manusia yang dipercayai diturunkan oleh nenek moyang mereka yang merupakan pahlawan peperangan (misasangod). Alat bunyian ini dipanggil 'sindayang'.
Antara bahan makanan yang dihidang di tengah rumah sebagai jamuan 'mintong' ialah nasi, tapai, jeruk ikan (nosom) yang digaul dengan halia dan padi (santadang paai). 'Modsuut' memakan masa yang agak lama iaitu lebih kurang dari jam 1.00 tengah malam hingga jam 5.00 subuh. Apabila roh Bobohizan itu sudah turun ke bumi dengan roh-roh kayangan, maka Bobohizan akan berehat sebentar, samada mereka akan tidur atau makan.
Semasa Bobohizan berehat, para jemputan akan menarikan tarian tradisional Kadazandusun iaitu sumazau. Di sebelah pagi pula iaitu lebih kurang jam 6.00 pagi Bobohizan akan memalu gendang sambil membaca mantera 'mihung', 'painsan', 'monduvazan dan Bobohizan akan menyanyikan mantera 'momosik' tompuvan' (mengejutkan pari-pari yang menjaga rumah).
Seterusnya Bobohizan akan menarik sehelai bulu dari seekor ayam yang telah disediakan sebagai korban. Korban biasanya ialah seekor ayam dengan seekor babi. Jantina korban mestilah bertentangan misalannya ayam jantan dengan babi betina dan sebaliknya. Sehelai bulu ayam tadi akan diikat pada hisad dan ianya akan dikuis pada tuan rumah dan para tetamu.
Ini ialah untuk melindungi mereka daripada serangan penyakit agar mereka akan sentiasa sihat dalam mengerjakan sawah padi masing-masing. Setelah itu tetamu akan dijamu dengan makanan yang telah disediakan seperti nasi, tapai, daging ayam, daging babi dan sebagainya. Setelah Bobohizan menjamu selera, mereka akan turun ke bawah rumah dan membawa korban itu bersama-sama mereka. Bobohizan akan membaca mantera sambil memegang ayam korban dan sumazau.
Selepas membaca mantera, ayam akan disembelih dengan menusuk kepala ayam itu dengan benda tajam, kadangkala Bobohizan akan menggunakan klip rambut yang besar(titimbok). Setelah ayam itu mati, bulunya akan dibakar sehingga terhidu baunya. Ertinya ayam itu kini telahpun dikorbankan kepada miontong. Seterusnya Bobohizan akan memanggil 'miontong' untuk minum tapai iaitu dengan menuangkan sedikit tapai ke tanah.
Setelah itu Bobohizan akan memotong, rumput dengqn parang dan membaca mantera 'manau' untuk meminta dewata pulang ke kayangan. Kemudiannya korban-korban itu akan dibawa naik semula ke rumah. Semasa para Bobohizan naik ke rumah, salah seorang tuan rumah akan merenjiskan air kepada Bobohizan sebagai membersihkan Bobohizan yang telah turun ke tanah. Bobohizan pula akan menyanyikan mantera 'sumamboi'.
Bobohizan akan berehat seketika, kemudian acara 'magampah' akan diadakan dimana tetamu dan ahli keluarga tuan rumah terutamanya kanak-kanak akan duduk berkumpulan pada suatu tempat (lazimnya ditengah ruang tamu) lalu ditutup dengan kain yang besar sambil Bobohizan menari-nari mengelilingi mereka dengan membaca mantera dan memukul dua bilah parang (tandus atau ilang) di atas kain yang menutuoi kumpulan itu untuk menghalau penyakit.
Bobohizan yang lainnya juga akan menari-nari mengelilingi kumpulan ini dengan menguis kain penutup dengan batang Lengkuas (tumbu) dan ohok (bunga). Apabila mantera selesai dibaca, Bobohizan akan mengangkat kain penutup dan mereka yang ditutup oleh kain itu akan bertempiaran lari kononya untuk meninggalkan penyakit ditempat mereka berekumpul tadi.
Setelah itu Bobohizan dan para tetamu akan para tetamu akan sumazau. Selepas jamuan tengah hari, Bobohizan akan membaca mantera 'papasazau miontong' ini ialah untuk menjemput roh-roh penjaga rumah/padi berpesta menari sumazau bersama-sama. Sambil sumazau, Bobohizan akan memotong batang bambu (binabat) yang telah disediakan, kemudian disangkut pada dinding rumah.
Hisad juga akan dihiris-hiris oleh Bobohizan. Hisad yang jatuh ke lantai akandipungut dan ditabur diatas padi yang dipersembahkan sebagai korban kepada 'miontong'. Selepas itu Bobohizan akan berehat dan pada waktu inilah korban-korban seperti daging babi dan ayam dibersihkan dan dibahagi-bahagikan. Bahagian usus korban ini akan dibawa oleh Bobohizan ke sungai untuk dibersihkan. Upacara ini dinamakan 'humanau', ini juga bertujuan untuk memberi makan kepada miontong .
Setelah itu kesemua Bobohizan akan mandi, membersihkan diri mereka. Semasa perjalanan kembali ke rumah tempat momohizan itu diadakan, Bobohizan dilarang untuk menoleh ke belakang atau tersadung kaki semasa berjalan. Upacara momohizan ini diadakan selama dua malam dan setengah hari. Malam keduanya Bobohizan akan membaca mantera 'modsuut' lagi tapi dengan roh penjaga rumah/padi saja.
Di sebelah pagi hari kedua, bahan korban akan dibahagi-bahagikan kepada para Bobohizan sebagai sogit dan selepas itu mereka akan dijamu dengan makanan dan minuman tapai, ketika inilah para tetamu dan Bobohizan akan berbalas pantun (kizat) atau syair (hius) dan acara ini sememangnya merupakan acara untuk berhibur yang di selangi dengan gelak ketawa dan usik mengusik. Setelah selesai makan, Bobohizan akan pulang ke rumah masing-masing dengan berbekalkan sogit (huus).
Humabot
Upacara Humabot ialah adat suku kaum Kadazandusun yang diamalkan oleh nenek moyang suku kaum ini apabila mendirikan rumah baru. Sebuah keluarga suku kaum ini yang akan mendirikan rumah akan meminta Bobohizan untuk menjampi tanah tapak rumah itu didirikan.
Bobohizan memasukkan benda-benda seperti garam, butang baju dan kayu sapad ke liang tanah tempat tiang dipacakkan. Selepas itu Bobohizan akan merenjis air disekitar kawasan tapak rumah sambil membaca mantera, ini bertujuan untuk menghalau roh-roh jahat yang berkeliaran di tapak rumah tersebut yang dipercayai akan mendatangkan malapetaka ataupun dalam bahasa kadazandusun 'kopizo' Tiang akan dipacakkan jika tuan rumah termimpi baik, tetapi jika sebaliknya, maka tapak tiang akan dialihkan sedikit dari tapak asal.
Apabila rumah sudah didirikan, Bobohizan akan dipanggil lagi dan kali ini upacara 'momodu' atau memandikan rumah akan dijalankan. Bobohizan akan membaca mantera sambil kaum lelaki akan menyalakan apai pada bambu yang hujungnya dibungkus dengan getah (sikalap) dan membawa obor ini mengililingi rangka-rangka atap rumah sambil bertempik sorak atau 'memangkis'. Ini bertujuan untuk menghalau roh-roh jahat pembawa malapetaka.
Upacara ini biasanya disambut dengan keramaian dan para jemputan akan dihidangkan dengan jamuan. Tuan rumah juga akan memjemput ketua keluarga yang mempunyai ramai anak yang semua masih 'hidup', ke rumahnya dan meminta ketua keluarga itu baring sebentar pada alas tidur tuan rumah. Ini dipercayai bertujuan untuk menjemput rezeki yang berpanjangan kepada keluarga tuan rumah itu.
Sebulan selepas tuan rumah tinggal di rumah itu maka upacara 'momohontog sisit' iaitu upacara menghormati tiang rumah akan diadakan ianya merupakan acara keramaian seperti magagung, sumazau dan makan besar. Setahun selepas tuan rumah tinggal di rumah baru itu, upacara magavau akan diadakan untuk memuja semangat rumah.
Seminggu selepas magavau diadakan upacara Humabot pula menyusul, upacara ini juga adalah upacara menghormati rumah dan ianya disambut dengan meriah sekali. Tapai akan disediakan untuk menjamu jemputan yang datang.
Dalam upacara itu Bobohizan akan menjampi nasi untuk membuat tapai kemudian meletakkanya diatas daun simpur. Air perahan nasi tapai itu akan diminum dan nasinya pula dilontarkan ke dalam ketawai besar (bekas menyimpan padi), ini adalah untuk memberi makan kepada semangat padi 'bambazon' makan. Kaum lelaki juga akan melontarkan nasi tapai pada daun simpur itu ke dalam ketawai sambil bertempik sorak (memangkis) .
Acara ini berterusan sehingga kesemua nas tapai yang diletakkan atas daun simpur itu habis. Upacara Humabot diadakan setiap selang satu tahun selepas ia diadakan dan lima tahun selepas rumah itu dihumi. Upacara ini juga merupakan upacara keramaian iaitu makan besar dimana seekor kerbau akan ditumbangkan sebagai sogit (korban).
Nenek moyang suku kaum ini mempercayai bahawa sekiranya upacara-upacara menghormati rumah baru ini tidak dilakukan maka malapetaka pasti akan menimpa keluarga yang tinggal dirumah baru itu, penyakit akan berleluasa, perkara-perkara ganjil dan mengerikan akan terjadi dirumah itu seperti beratus-ratus ekor tabuan (potizukon) akan mengelilingi rumah atau biawak akan tiba-tiba muncul dirumah baru itu. RUJUKAN:http://www.sabah.edu.my/skm015.wcdd/adatresam.htm
MAKANAN TRADISIONAL SABAH....

Assalammualaikum semua..hari ni Mrs Velentine nak memperkenalkan Makanan yang terkenal kat Sabah ni dan merupakan makanan tradisional suku kaum Sabah.Korang tau kan yg Sabah ni mempuyai suku kaum yang pelbagai So makanan pun mesti banyak...hehehehe

Oleh kerana Mrs Velentine mix cina + Bisaya So kita mulakan dlu dengan suku kaum mak sya lah k..Org Bisaya ni kebanyakan menetap di Beaufort..Makanan yg terkenal suku kaum Bisaya ni adalah ambuyat@ sagu & kelupis..

Makanan berikut nya pula mmg terkenal dgn suku kaum Dusun iaitu Tuhau, Inava,jeruk bambangan& basau...Mula2 nda pandai juga makan benda2 ni tp last2 semua ni wajib ada kalau mau makan....



Dan jom tengok makanan yang terkenal juga kat Sabah.kalau pergi Sabah wajib bawa balik n try makan..jom tengok pic kat bawah

Kuih Cincin(PapaR)
AMplang(Tawau)
 

Kuih Penjeram(*Terkeanal kat Kota Belud)
Rumpai laut(*cari kat Pasar Filipin)
  
Kelapa Bakar(Tuaran,)
jagung Bakar (Kota Marudu)

Sayap Ayam(Pasar malam)
RUJUKAN:http://msvelentine.blogspot.com/2012/08/makanan-makanan-terkenal-di-sabah.html